|
(SKeADILan)
SEBERANG JAYA: Sikap Umno yang seperti menggunakan semua kuasa yang ada termasuk menggunakan jabatan-jabatan kerajaan untuk menghadapi pilihan raya kini diulangi sekali lagi untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Sumber dari parti itu sendiri yang enggan dikenali telah menemui Suara Keadilan dan memaklumkan bahawa anggota cawangan khas polis telah digunakan untuk memantau dan mendapatkan maklumat di kawasan pilihan raya yang kemudiannya disalurkan kepada jentera pilihan raya Umno.
"Mereka (anggota cawangan khas) atas arahan BN akan memantau kawasan kampung-kampung untuk mendapatkan maklumat tentang sentimen dan sokongan daripada penduduk kampung," katanya kepada SK, 18 Ogos lalu.
Menurutnya, jentera pilihan raya BN yang sudah mengenali beberapa kawasan panas akan menghantar anggota-anggota terbabit untuk mendapatkan maklumat yang boleh membantu untuk cuba mendapatkan kemenangan BN.
Apabila ditanya dengan lebih lanjut mengenai kehadiran anggota terbabit, beliau juga tidak menolak kemungkinan anggota berkenaan telah 'ditanam' di bilik-bilik operasi jentera Pakatan Rakyat di kawasan Permatang Pauh.
"Mungkin juga mereka di sana untuk mendapatkan maklumat ataupun kemungkinan juga untuk cuba mensabotaj operasi jentera pilihan raya KeADILan," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga mengakui bahawa ramai ahli-ahli Umno termasuk dari urusetia jentera pilihan raya sendiri yang bercanggah pendapat serta bergaduh sesama mereka diatas isu yang difokuskan untuk pilihan raya kecil berkenaan.
"Kebanyakkan daripada kami tidak menyetujui langkah pihak kepimpinan yang menggunakan isu liwat untuk pilihan raya kecil ini kerana berpendapat BN perlu menjawab segala isu yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.
Bayangkan, betapa muaknya kami asyik mahu berhadapan dengan orang kampung dan menyatakan berulangkali dengan isu liwat sedang Pakatan Rakyat sendiri tampak lebih fokus membincangka isu-isu ekonomi dan sebagainya yang memang menjadi tumpuan dan ingin didengar oleh penduduk di kawasan terbabit," katanya lagi kepada SK.
Menurutnya, pengundi di Permatang Pauh semakin matang dan mereka lebih peka dengan keadaan sekeliling dan bukan 'bodoh' seperti yang dijangkakan oleh BN yang berpendapat undi mereka boleh dibeli dengan isu liwat maupun menggunakan wang sebagai umpuan.
|